Followers

Friday 18 October 2019

PERISIAN PEMBENTANGAN PREZI DALAM SESI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN



Penggunaan teknologi dalam penddikan merupakan salah satu ciri Pembelajaran Abad ke-21.  Oleh itu seseorang guru perlu menerapkan ciri tersebut dalam sesi Pdpc dengan menggunakan teknologi terkini seperti lcd, gajet, powerponit, video, audio, alatan elektronik dan sebagainya.  Penerapan elemen Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam sesi pengajaran dan pembelajaran mampu mendorong pelajar menjadi lebih kreatif malah menjadikan sesi PdPc lebih menarik dan menyeronokkan serta meningkatkan kualiti pembelajaran. Selain itu, proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan mudah, ringkas dan padat kerana pelajar akan didedahkan dengan gambaran dan persembahan yang menarik serta mudah untuk difahami.  Pelajar juga tidak akan berasa jemu dan bosan dalam proses menerima ilmu kerana mereka tertarik terhadap sesuatu persembahan menggunakan Teknologi Maklumat.


        Sebagai seorang guru, penggunaan software pembentangan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran merupakan satu kewajipan.  Kebiasaanya saya menggunakan Microsof PowerPoint, tetapi kali ini saya cuba satu kelainan, iaitu menggunakan Sofware Prezi Prezi ini mempunyai fungsi yang sama dengan Powerpoint, iaitu pembentangan tetapi sofware ini nampak lebih menarik.   Sesi pengajaran dan pembelajaran kali ini saya bersama pelajar tingkatan 1.  Sebelum saya cerita dengan lebih lanjut, saya kenalkan dulu sofware Prezi dan perbezaan dengan Microsof Power Point.


Apa itu Prezi?

Prezi merupakan sebuah software yang menggunakan internet dan fungsinya sama dengan Microsoft PowerPoint. Pengguna boleh menggunakan sofware ini dengan menggunakan e-mel  bagi mendaftar akaun Prezi.  Kita boleh pilih sama ada ingin mendapatkan media pembentangan yang percuma atau yang berbayar.   Prezi menyediakan pelabagai bentuk tampilan pembentangan sama ada dalam pembentangan berstruktur (linear) atau pembentangan peta pemikiran (mind maping).  Untuk kelihatan lebih menarik, kita boleh pilih bentuk bingkai pembentangan yang disediakan malah kita juga boleh masukkan gambar, video atau audio dalam media pembentangan tersebut.  Keistimewaan Prezi ini ialah mengandungi Zooming User Interface (ZUI) yang membolehkan kita memperbesar atau memperkecil media pembentangan.


            Sebelum ini, pelajar saya sudah biasa didedahkan dengan sofware Microsoft PowerPoint malah pelajar juga pernah menghasilkan tugasan mereka dengan sofware tersebut.  Tidak dinafikan bahawa PowerPoint juga merupakan salah satu teknologi namun, tetapi penggunaannya sangat meluas bukan sahaja dalam kalangan pelajar malah golongan bekerjaya juga. Pelajar-pelajar kini lebih gemar sesuatu yang baharu dan menarik bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran menarik dan berkesan.


Berikut saya senaraikan perbezaan antara Prezi dan Microsof PowerPoint:

PREZI
MICROSOFT POWERPOINT
Dihasilkan secara atas talian/memerlukan internet
Dihasilkan tanpa internet
Digunakan dalam bentuk slide yang lebih menarik serta boleh zoom
Slide yang tiada pelbagai variasi bentuk
Tema yang lebih menarik dan bervariasi
Tema yang tidak bervariasi
Hasil kerja tersimpan di web
Hasil kerja tersimpan di dalam laptop/komputer

            
          Pada kelas kali ini, saya mengambil masa selama dua hari untuk menyiapkan slide pembentangan saya menggunakan Prezi. Saya mendaftar akaun Prezi menggunakan e-mel.  Kemudian saya cuba memlilih media/slide yang bersesuaian dengan tajuk dan pelajar saya.  Saya memilih bentuk flora. Yang menarik tentang Prezi ini, kita dapat menukar warna media/slide mengikut keinginan kita.  Apabila saya tidak sempat menyiapkan hasil pembentangan saya, saya boleh simpan hasil tersebut dalam akaun Prezi saya.  Saya hanyaperlu mendaftar masuk semula sekiranya saya ingin menyambung hasil kerja saya.  



           Kali ini saya mengajar pelajar tingakatan 1 dengan tajuk Novel Sejambak Bakti.  Sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran, saya menerangkan serba sedikit tentang sofware yang saya gunakan ini. Pelajar saya menyatakan mereka tidak pernah didedahkan dengan sofware ini.  Apabila saya memancarkan hasil pembentangan saya, pelajar-pelajar kelihatan menumpukan sepenuh perhatian mereka pada skrin LCD.  Mereka sangat teruja apabila sofware ini mampu memperbesar dan mengecikan item/media pembentangan.  


 Paparan keseluruhan slide pembentangan






Paparan slide seterusnya setelah diperbesar


Pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, pelajar memberikan maklum balas yang sangat memberangsangkan, malah mereka juga ingin mencuba menghasilkan slide dengan menggunakan sofware ini.  Walaupun sofware ini hanya dapat digunakan dengan adanya internet, tetapi kualiti sofware in sangat tinggi serta mampu menarik minat semua orang terutamanya pelajar.


 Saya kongsikan Rancangan Pengajaran Harian kelas saya pada kali ini.

          



Saya kongsikan video sesi pdpc saya bersama pelajar 

Selamat mencuba :)



Sunday 13 October 2019

PEMBELAJARAN ABAD KE-21 (INSTAGRAM TV @ IGTV)


Elemen terpenting dalam pembelajaran abad ke-21 ialah penggunaan teknologi dan makumat dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Bagi mendapatkan kelainan dalam kaedah mengajar, guru digalakkan mengaplikasikan pembelajaran abad ke-21 ini.  Sebelum ini saya berkongsi sesi pengajaran dan pembelajaran saya bersama pelajar tingkatan 3 dengan menggunakan aplikasi Kahoot.  Pada kali ini, saya menggunakan media sosial Instagram sebagai alat bantuan pengajaran dan pembelajaran saya dengan pelajar tingkatan 4. Kali ini saya menggunakan Instagram TV atau IGTV.


Apa itu IGTV?

Pada awalnya, video yang boleh dimuat naik dalam Instagram hanya berdurasi 30 saat namun berubah kepada 1 minit dan akhirnya IGTV diperkenalkan.   IGTV ataupun Instagram TV adalah satu fungsi dan aplikasi baru daripada Instagram bagi memudahkan kita menonton/memuat naik video mudah alih dengan durasi yang lebih panjang daripada video sebelum ini yang boleh menjangkau  durasi selama sejam. Tujuan Instagram mewujudkan IGTV adalah untuk mempromosikan aplikasinya di samping menggalakkan pengguna memuat naik video tanpa melalui Youtube.  Antara keistimewaan IGTV berbanding Youtube dan Facebook ialah kita tidak akan dapat melihat paparan iklan semasa kita menonton video manakala Facebook dan Youtube mempunyai paparan iklan. 


             Bagi mencipta sesuatu kelaianan, saya menggunakan aplikasi media sosial ini dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah.   Saya menggunakan aplikasi Instagram kerana rata-rata para pelajar zaman sekarang  memiliki akaun Instagram. Mereka lebih celik menggunakan aplikasi media sosial ini kerana masing-masing mempunyai telefon pintar.  Dalam bidang pendidikan, kebiasaannya guru menghasilkan video menggunakan Movie Maker, namum kali ini saya menggunakan aplikasi IGTV pula sebagai tugasan kepada para pelajar.  Tugasan ini yang saya berikan kepada pelajar tidak memberatkan mereka.  Pada kelas pertama, saya telah mengagihkan para pelajar saya kepada lima kumpulan.  Setiap kumpulan akan diberikan tajuk masing-masing.  Saya menerangkan tugasan yang perlu dilakukan oleh mereka dan seterusnya pelajar mengadakan perbincangan sehingga tamat kelas pada hari tersebut.





             Saya memberi tempoh/masa selama seminggu kepada pelajar saya untuk menyiapkan tugasan (merekod video) itu lalu memuat naik ke laman Instagram.  Oleh sebab mereka terlalu teruja akan tugasan yang diberikan serta mahir menggunakan aplikasi tersebut, pelajar saya dapat menyempurnakan tugasan itu lebih awal daripada masa yang ditetapkan.  Pada kelas seterusnya, saya membawa pelajar ke Dewan Kuliah 2 untuk memancarkan hasil tugasan pelajar pada skrin LCD. Keistimewaan Instagram ini, pelajar saya boleh like, komen dan share video hasil tugasan kawan mereka.  Mereka juga boleh juga mengajukan pertanyaan melalui Istagram Direct Messaging.  Pelajar terus boleh menonton video-video daripada pelbagai channel yang diikuti oleh mereka sebaik sahaja membuka aplikasi IGTV. 


       Secara kesimpulannya, penggunaan teknologi dan maklumat ini sangat mempengaruhi suasana pdpc pada hari tersebut.  Memandangkan tajuk yang saya ajar ialah karangan, biasanya pelajar akan mudah bosan.  Oleh itu pendekatan yang saya gunakan iaitu dengan menggunakan teknologi IGTV menyebabkan suasana pembelajaran pada hari tersebut menarik dan berkesan. Selain itu, penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran ini dapat memberi peluang pembelajaran yang sama kepada semua pelajar yang pelbagai keupayaan. Di dalam sesebuah kelas tidak semua pelajar mempunyai kebolehan yang sama dalam menerima sesuatu yang diajar oleh guru. Justeru itu melalui penggunaan ICT pelajar saya dapat memahami sesuatu yang diajar dengan lebih jelas kerana proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih menarik serta berkesan hasil daripada penggunaan alatan ICT tersebut.   Pelajar saya telah berjaya mempamerkan kreativiti mereka dalam menghasilkan tugasan yang diberi dengan baik.   Mereka juga telah memberikan maklum balas yang positif serta mencadangkan agar pelbagai aplikasi teknologi ini digunakan untuk tugasan seterusnya.  

Saya kongsikan beberapa hasil tugasan anak pelajar saya di bawah ini :


 KUMPULAN 1

KUMPULAN 3
KUMPULAN 2

Feedback saya terhadap hasil tugasan pelajar :






Saya kongsikan Rancangan Pengajaran Harian saya dan video sesi pengajaran dan pembelajaran saya kali ini.

                                

                                                            





Selamat mencuba :)


Friday 11 October 2019

PEMBELAJARAN INTERAKTIF MENGGUNAKAN APLIKASI KAHOOT



Dalam pembelajaran abad ke-21 (PAK 21), teknologi dalam pendidikan sangat penting kerana dapat menjadikan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas menjadi lebih menarik.  Penggunaan teknologi menjadi perangsang kepada para pelajar untuk terus belajar. Teknologi juga dapat mengcungkil idea guru yang kreatif dan inovatif. Antara contoh alat teknologi yang dapat digunakan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran ialah Kahoot, Excel, Quizizz, Padlet, Flipgrid, Zappar dan sebagainya.  


Apa itu Kahoot?

Kahoot ialah satu aplikasi permainan berasaskan pembelajaran yang menyeronokkan.  Soalan yang terdapat dalam aplikasi ini sebenarnya dibuat oleh guru sendiri dengan beberapa pilihan jawapan.  Kahoot ini sesuai dimainkan di dalam kelas, makmal komputer, atau di mana-mana sahaja.  Semua pemain boleh menjawab soalan menggunakan alat peranti masing-masing sama ada telefon pintar, laptop, tablet dan sebagainya.  Soalan akan dipaparkan di skrin utama.  Tujuan soalan dippaparkan adalah untuk memastikan pemain bersatu dan melibatkan diri dalam aktiviti PdPc.

            Banyak kelebihan yang akan diperoleh pelajar apabila guru menggunakan aplikasi ini antaranya ialah permainan ini mampu mengubah suasana pembelajaran menjadi lebih seronok.  Hal ini demikian kerana, aplikasi ini membolehkan guru memasukkan gambar, video dan audio. Pelajar pada masa kini terutamanya pelajar lelaki lebih gemar bermainan permainan atas talian. Secara tidak langsung, permainan ini dapat menarik minat pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti PdPc.


       Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran kali ini saya menggunakan aplikasi kuiz interaktif secara atas talian, iaitu Kahoot. Kahoot merupakan salah satu medium pembelajaran interaktif dan isi kandungan permainan adalah berkaitan dengan silibus pelajaran yang diajar.  Pada kelas kali ini, saya memilih pelajar-pelajar tingkatan tiga, iaitu seramai 53 orang.  Saya memilih untuk membina soalan kuiz Latihan Bahasa Melayu PT3 memandangkan mereka bakal menduduki peperiksaan PT3 2019 pada 9 Oktober 2019.  Pada mulanya,  pelajar menunjukkan perasaan sangat teruja untuk masuk ke kelas saya kerana saya sudah memaklumkan kepada mereka lebih awal  tentang kuiz ini.  Hal ini demikian kerana saya ingin memastikan semua pelajar membawa alat peranti masing-masing, iaitu telefon pintar.   

             Pada permulaan kelas saya memperkenalkan aplikasi ini kepada para pelajar.  Pelajar diminta membuka carian https://kahoot.com/  lalu memilih sama ada Classic atau Team mode.  Pelajar saya memilih Classic, iaitu satu lawan satu.




Selepas itu, pelajar mula memasukkan nombor pin yang tertera pada skrin dan mendaftar nama masing-masing.  Sebaik saja mendaftar, nama pemain akan muncul di skrin.  Apabila semua pelajar sudah daftar, saya klik butang Start dan permainan dimulakan.





             Pelajar membaca soalan pada paparan skrin LCD lalu menjawab soalan berdasarkan bentuk yang terpapar di telefon pintar mereka.  Guru boleh menetapkan masa untuk menjawab soalan. Saya menetapkan masa untuk menjawab ialah 20 saat.  Setelah selesai menjawab, markah pelajar dan kedudukan pemenang dapat dilihat melalui ScoreboardPelajar yang paling cepat dan tepat menjawab soalan akan menduduki tempat teratas.




               Setelah selasai mejawab 20 soalan, pelajar dapat melihat keputusan kuiz Kahoot ini, iaitu Johan, Naib Johan dan Tempat Ketiga beserta markah masing-masing.  Pelajar juga boleh memberi maklum balas atau feedback berkaitan sesi pengajaran dan pembelajaran tersebut.  Berdasarkan maklum balas yang diterima, semua pelajar saya memberi maklum balas yang positif, iaitu pelajar seronok dan teruja dengan sesi pembelajaran kali ini serta mencadangkan agar aplikasi Kahoot ini digunakan lagi pada kelas akan datang.  


     Secara kesimpulannya,  teknologi sangat mempengaruhi sesi pengajaran dan pembelajaran pada masa kini kerana pelajar zaman kini sudah terdedah dengan teknologi sejak mereka kecil.   Kahoot ini sangat sesuai digunakan untuk menarik minat pelajar dalam mempelajari sesuatu mata pelajaran  tersebut agar sesi PdPc tidak berada dalam keadaan membosankan.  Oleh itu guru-guru perlu lebih kreatif dalam merancang strategi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas agar pelajar lebih bermotivasi dan semangat untuk belajar.  Sekian perkongsian daripada saya. 


Saya kongsikan Rancangan Pengajaran Harian saya :



Untuk lihat dengan lebih jelas, boleh klik video sesi pengajaran dan pembelajaran saya di bawah ini :



Selamat Mencuba :)